KUALA LUMPUR 15 Jul ai – Jenazah empat mangsa yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 445.9, Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran Rawang, dekat sini semalam, telah dituntut oleh keluarga masing-masing pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, , Superintenden Azman Shari’at berkata, jenazah Noorakhiruldin Alam Mohamad Noor, 48; Nur Fitriah Rosman, 24; Mohamad Hafiz Shahrul Jefri Din, 24, dan Nurbaya Mohd. Zaki, 24, telah dituntut oleh waris masing-masing pada pukul 2 pagi.
“Manakala anak kepada Noorakhiruldin Alam, Ezzudin, 10, dan pemandu Mohamad Asri Ismail, 45, masih menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh. Siasatan mengenai kes tersebut masih lagi dijalankan,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 12 tengah hari itu, treler yang dipandu Mohamad Asri bergesel dengan Perodua Myvi lalu merempuh kereta Nissan Almera sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bergesel pula dengan bas persiaran.
Susulan daripada itu, tiga kenderaan lain iaitu BMW, Toyota Vellfire dan Perodua Alza di laluan bertentangan tidak dapat mengelak treler tersebut, menyebabkan empat maut. – UTUSAN ONLINE










