Jenaka harga barang turun - Utusan Malaysia

Jenaka harga barang turun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, SAYA mendapati amat lucu apabila kajian dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati 70 peratus barangan pengguna mengalami penurunan harga sejak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kadar sifar bermula 1 Jun lalu.

Pengumuman dibuat menteri berwajib adalah sesuatu yang sangat tidak boleh diterima akal. Kita semua adalah pengguna dan kita tahu apa yang dinyatakan itu hanya ‘sandiwara’.

Cukup-cukuplah berpolitik dan mulalah bekerja untuk rakyat yang secara majoritinya memilih kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk berkhidmat dan mengharapkan perubahan seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya lalu.

Tolonglah jangan beri harapan palsu kerana nampaknya semua yang dijanjikan hanya tinggal janji kosong. Memang betul GST kadar sifar tapi harga barangan pengguna masih sama atau tetap naik. Katalah apa pun tetapi kita semua sebagai pengguna tahu tidak terasa sekalipun ada penurunan.

Kalau begitu, lebih baik kekalkan sahaja GST kerana kerajaan dapat hasilnya dan rakyat pun sudah terbiasa dengannya kerana tanpa cukai itu pun rakyat tidak meraih apa-apa manfaat.

Menteri pun semaklah dahulu fakta sebelum membuat pengumuman sehingga ‘dibadutkan’ oleh para pegawai sendiri di KPDNHEP. Bagi menutup kelemahan pengumuman yang dibuat, pak menteri membuat kenyataan balas dengan menyatakan penurunan harga adalah terlalu kecil pula.

Harga minyak tak turun-turun juga sedangkan harga minyak di pasaran antarabangsa naik dan kerajaan yang memerintah memperoleh lebihan hasil melalui eksport minyak mentah yang boleh disubsidikan kepada rakyat.

Pendek kata, menuju 100 hari pemerintahan kerajaan PH, apa yang boleh diharapkan daripada mereka? Atau rakyat hanya boleh terus berharap dan menyimpan harapan baharu untuk pilihan raya akan datang?

Biar saya ingatkan kerajaan, rakyat mengharapkan PH tunaikan janji tetapi harapan tinggal harapan dan rakyat tidak mahu harapan yang dijaja ke sana ke mari kekal hanya sebagai harapan kosong.

Nampak gayanya semua sama sahaja. Tiada satu pun projek yang kononnya mega oleh kerajaan terdahulu dibatalkan, cuma yang dilakukan hanya membincangkan semula kos pelaksanaannya.

Oleh itu, apa yang dirancang oleh kerajaan dahulu tidak salah cuma kosnya yang tinggi (mengikut kata kerajaan sekarang). Ini adalah isu yang subjektif dan boleh dibahaskan.

Anggota kerajaan juga hanya mahu mengkritik kerana sudah menjadi sifat mereka sejak azali dengan mentaliti pembangkang tetapi pada masa sama mahu dilihat membuat kerja setelah mengambil alih kerajaan.

 

MATT SPRONG

Kajang, Selangor

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN