Jemaah Malaysia mula masuki Mekah Ahad ini - Utusan Malaysia

Jemaah Malaysia mula masuki Mekah Ahad ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH 19 Julai – Jemaah haji Malaysia yang tiba di Madinah akan mula memasuki Mekah pada Ahad ini.

Kumpulan pertama jemaah yang terus memasuki Mekah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pula adalah pada 28 Julai ini.

Setakat hari ini, seramai 5,600 jemaah Malaysia sudah berada di Madinah menerusi 12 penerbangan dan menginap di tiga zon yang ditetapkan.

Kumpulan media seramai 20 orang pula memasuki Mekah semalam bagi fasa kedua laporan haji sehingga tempoh masyair nanti.

Beberapa orang jemaah ketika ditemui di Madinah semalam sudah tidak sabar untuk memasuki Mekah terutama bagi yang kali pertama mengerjakan haji dan umrah.

Zakiah Sani, 56, dari Kuala Lipis, Pahang, berkata, dia tidak sabar mahu menjejakkan kaki ke Masjidilharam dan melihat Kaabah.

Selepas 11 tahun menunggu giliran, tahun ini Zakiah amat gembira dapat menunaikan Ru­kun Islam kelima itu bersama dua rakan sekampungnya.

“Ini kali pertama saya akan menjejakkan kaki ke Mekah. Saya tidak pernah menunaikan umrah, jadi rasa sudah tidak sabar untuk melihat Baitullah,” katanya.

Dia sedikit resah kerana me­ngalami masalah lutut, namun berharap urusan hajinya dipermudahkan oleh Allah.

Bagi rakan sekampungnya, Khadijah Mohamad, 55, yang pernah mengerjakan umrah berkata, dia memang memohon untuk memasuki Madinah terlebih dahulu supaya dapat menziarah makam Rasulullah sebelum mengerjakan haji.

“Memang sudah tidak sabar mahu memasuki Mekah dan menanti hari wukuf,” katanya.

Natrah Abdullah, 56, pula berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan Lembaga Tabung Haji dan berharap dapat mengerjakan haji dengan sempurna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN