Jemaah dinasihat guna khidmat pos - Utusan Malaysia

Jemaah dinasihat guna khidmat pos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH 25 Julai – Jemaah haji Malaysia terutama warga emas dinasihatkan menghantar barangan belian mereka ke tanah air dengan pos kerana selain sampai lebih awal, dapat mengelakkan daripada dike­nakan caj tambahan di lapangan terbang.

Akmal Abdul Rahim
AKMAL ABDUL RAHIM

Pengurus Perkhid­ma­­tan Luar, Akmal Abdul Rahim berkata, sekiranya membawa ba­lik sendiri, mungkin barangan itu tertinggal atau pecah sedangkan­ dipos akan sampai da­lam tempoh dua ming­gu sahaja ke rumah masing-masing.

Menurut beliau, ba­yaran untuk pos adalah 16 riyal sekilogram sedangkan caj tambahan dikenakan di lapangan terbang antara 20 hingga 30 riyal sekilogram.

Beliau bagaimanapun mengingatkan jemaah agar mematuhi peraturan pihak berkuasa Arab Saudi dengan tidak menghantar barang larangan seperti dhab menerusi pos.

Katanya, penghantaran yang pa­ling banyak dibuat oleh jemaah adalah air zam-zam yang kuotanya sudah ditetapkan iaitu 10 kilogram setiap penghantaran sebelum dan selepas hari wukuf.

“Harganya sudah ditetapkan iai­tu 130 riyal untuk penghantaran di Semenanjung dan 150 riyal di Sabah dan Sarawak,” katanya di sini.

Menurut beliau, terdapat empat syarikat yang mengendalikan khidmat penghantaran pos iaitu Pos Malaysia, Shah Kargo, Koperasi Tabung Haji dan Nationwide Express.

Menurutnya, tugas Unit Perkhidmatan Lu­ar adalah memantau perkhidmatan berke­na­an agar mematuhi SOP yang dijanjikan.

“Setiap syarikat menempatkan dua kakitangan di Madinah dan Mekah.

“Pemantauan dilakukan dua ka­li sebelum wukuf dan sekali selepas itu. Sejak dua tahun lepas prestasi kesemua syarikat ini baik, tahun depan kita akan nilai se­mula, jika baik akan teruskan khidmat, jika tidak, kita akan hentikan,” katanya.

Beliau menasihatkan jemaah agar menghantar pulang bagasi serta barangan belian sebelum hari wukuf kerana selepas itu akan berlaku kesesakan di lapangan terbang dan tempoh penghantaran juga akan memakan masa.

Beliau mengakui jemaah Malaysia paling banyak membuat penghantaran pos barangan se­perti kurma, baju, karpet serta minyak wangi, selain air zam-zam.

Jelasnya, selain tugas memantau khidmat pos, unit ber­kenaan turut memantau perkhid­matan katering, kafeteria, dobi dan I-talk TM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN