JBPM percaya kepakaran Thailand selamatkan baki mangsa di dalam Gua Tham Luang - Utusan Malaysia

JBPM percaya kepakaran Thailand selamatkan baki mangsa di dalam Gua Tham Luang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) percaya kepakaran dan keupayaan yang dimiliki pihak berkuasa Thailand mampu menyelamatkan baki sembilan mangsa yang terperangkap di dalam Gua Tham Luang sejak dua minggu lalu.

Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid berkata, setakat ini pihaknya tidak terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat kesemua mangsa tersebut namun JBPM sentiasa mengikuti perkembangan misi berkenaan. 

“Setakat ini JBPM tidak menerima sebarang permohonan daripada pihak berkuasa Thailand bagi membantu mereka menyelamatkan mangsa di dalam gua tersebut. 

“Saya percaya mereka mempunyai keupayaan dan kepakaran sendiri dalam misi tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan Lawatan Kerja Rasmi Ketua Pengarah JBPM ke Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak di sini sebentar tadi. 

Tambah Mohammad Hamdan, pihaknya mungkin boleh terlibat dalam memberikan nasihat dalam misi mencari dan menyelamat berdasarkan kepakaran yang dimiliki JPBM. 

“Jika hantar pegawai ke sana sekali pun, kita khuatir ia boleh memudaratkan kerana pengetahuan kita mengenai keadaan dan bentuk gua tersebut terhad,” jelasnya. 

Kosmo hari ini melaporkan, empat daripada 13 mangsa berjaya diselamatkan malam tadi dalam misi bersejarah di wilayah Chiang Rai, utara Thailand selepas lebih dua minggu mereka terperangkap di dalam Gua Tham Luang. 

Menurut Mohammad Hamdan, insiden tersebut boleh dijadikan sebagai iktibar dan persediaan kepada JBPM khususnya di Perak kerana orang ramai terutamanya pelancong suka memasuki gua yang terdapat di negeri itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN