JOHOR BAHRU 15 Julai – Kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai agensi akan mengadakan jayawara bertemu generasi muda pada September dan Oktober ini di seluruh Johor.
Antara jabatan utama yang terlibat dengan jayawara berkenaan adalah Institut Integriti Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato’ Onn (Iklas) di bawah Yayasan Warisan Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, tujuannya untuk membantu dan memberikan mereka fahaman motivasi dan jati diri agar selepas ini apabila mereka masuk dalam industri mereka boleh bertahan.
“Sekarang ini masalahnya adalah kerana tiada ketahanan diri. Biasanya anak muda tempatan hanya bekerja untuk tempoh dua atau tiga bulan sebelum bertukar kerja baharu. Mereka mahukan gaji yang tinggi dan pada masa sama memilih kerja.
“Kekurangan jati diri serta kekentalan moral dalam diri generasi muda masa kini dilihat menjadi punca mengapa golongan itu tidak mampu bertahan dalam sektor pekerjaan atau industri yang mereka ceburi untuk masa yang lama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Ekspo Hala Tuju Pendidikan dan Kerjaya di Maktab Sultan Abu Bakar di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE










