Jay Nazif bangga dipilih sebagai Ikon Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Jay Nazif bangga dipilih sebagai Ikon Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Julai – Pelakon cilik yang membintangi siri Mak Cun 4, Jay Nazif, 10, berkongsi rasa bangganya apabila baru-baru ini telah diberikan penghargaan selaku Ikon Pulau Pinang bagi kategori kanak-kanak atau sekolah rendah.

Menurut Jay, pemilihan tersebut merupakan pencapaian tertinggi yang pernah dicapai dalam hidupnya dan amat berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia selaku penganjur majlis.

“Saya rasakan ramai lagi kanak-kanak di luar sana turut layak diberi pengiktirafan macam ini, tetapi ini adalah rezeki yang Allah aturkan untuk saya nikmati kali ini.

“Diharap penghargaan ini mendorong saya untuk terus berusaha menjadi insan yang lebih baik pada masa akan datang, sekali gus boleh diteladani golongan sebaya untuk menggapai impian,” katanya berkongsi cerita.

Lantaran itu Jay menjelaskan, sebagai seorang ikon, dia berpeluang mengikuti bermacam-macam program dan aktiviti yang disusun oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

“Pelbagai aktiviti membentuk modal insan akan dianjurkan dan saya akan kongsi pengalaman bergelar pelakon dan pelajar,” ujarnya teruja.

Lebih manis, plak penganugerahan tersebut disampaikan sendiri oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bersempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Pauh Jaya 2018. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN