PUTRAJAYA – Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan memulakan siasatan pertama mereka membabitkan beberapa projek di bawah kelolaan Kementerian Pertahanan.
Pengerusinya, Tan Sri Ambrin Buang berkata, jawatankuasa tersebut telah diberikan mandat oleh kerajaan untuk menyiasat kes-kes perolehan dan pembelian aset yang mencurigakan oleh kementerian dari segi penyelewengan, salah guna kuasa atau pembaziran kewangan negara.
“Kami akan mengesyorkan tadbir urus kewangan yang lebih baik dan langlah-langkah membasmi ketirisan wang negara.
“Sebagai permulaan, jawatankuasa ini akan memulakan penyiasatan ke atas beberapa projek di bawah kelolaan Kementerian Pertahan,” katanya pada sidang akhbar berhubung penubuhan jawatankuasa tersebut di sini hari ini.
Mesyuarat jemaah menteri pada 30 Mei lalu telah bersetuju supaya penubuhan sebuah jawatankuasa bagi menyiasat isu tadbir urus, penyelewengan perolehan dan kewangan kerajaan secara menyeluruh di pelbagai kementerian.
Ahli jawatankuasa tersebut terdiri daripada Bekas Presiden Institut Akauntan Malaysia, Tan Sri Dr. Abdul Samad Alias; bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh; Ketua Pengarah Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara, Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff; bekas Pengarah Audit, Jabatan Audit Negara, Datin Paduka Ong Swee Leng dan Peguam Bela dan Peguam Cara, Dr. Zulqarnain Lukman.
Sehubungan itu, Amrin menjelaskan, pihaknya berharap semua kementerian dan agensi dibawahnya akan memberikan segala kerjasama kepada jawatankuasa tersebut apabila diperlukan.
“Jawatankuasa ini mengalu-alukan sebarang maklumat yang boleh membantunya dalam menjalankan fungsinya dengan berkesan.
“Untuk itu, maklumat tersebut boleh disalurkan kepada sekretariat ini menerusi email kepada [email protected],” ujar beliau.










