KUALA LUMPUR 24 Julai – Sebarang janji perlu ditepati meskipun melibatkan manifesto pilihan raya kerana menepati janji merupakan sebahagian daripada amalan dalam Islam.
Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid berkata, sebagai orang yang melaksanakan manifesto, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu mengotakan janji-janjinya kepada rakyat.
Namun, katanya, janji mempunyai unsur toleransinya tersendiri jika tidak dapat menunaikan janji dalam tempoh yang ditetapkan.
“Perdana Menteri sudah berjanji dan berusaha untuk melaksanakan manifestonya, jadi rakyat perlu beri peluang kepada kerajaan, lainlah kalau ada kekangan tertentu.
“Walau bagaimanapun janji tetap kena tepati, kalau sudah berjanji tetapi tidak boleh ditepati, kita kena jumpa pihak yang dijanjikan, minta tangguhkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.










