KOTA BHARU 27 Julai – Kerajaan Pusat diharap tidak menangguhkan pemberian royalti minyak kepada negeri ini kerana perkara itu tidak membabitkan Akta Pembangunan Petroleum 1974.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, Kerajaan Pas Kelantan hanya menuntut royalti minyak sebanyak lima peratus royalti daripada pengeluaran sumber asli tersebut sepertimana perjanjian dengan Petronas pada tahun 1975.
Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya mengambil sikap tunggu dan lihat kerana percaya Kerajaan Pakatan Harapan akan berpegang kepada janji untuk memulangkan hak rakyat negeri ini.
“Kita mahu lima peratus daripada pengeluaran tetapi kalau hendak beri lebih, alhamdulillah tetapi lebih senang (ikut) perjanjian 1975 kerana cara sudah ada, tidak ada masalah.
“Maka tidak perlu gubal undang-undang baharu dan rakyat dapat merasa (royalti) lebih cepat,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan Infaq: Asnaf dan Anak Yatim serta perasmian Pusat Jualan Dinar dan Dirham Perbadanan Menteri Besar Kelantan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa pemberian royalti 20 peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak di negara ini tidak dapat dilaksanakan dengan segera.
Mohamed Azmin dilaporan berkata, ini berikutan cadangan tersebut bercanggah dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974 kerana pengiraan adalah berdasarkan keuntungan kasar dan bukannya atas keuntungan bersih. – UTUSAN ONLINE









