PUTRAJAYA 30 Julai – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu terus memberi perhatian penuh kepada pembangunan di peringkat akar umbi meskipun telah mendapat ‘lampu hijau’ untuk menggunakan khidmat pemain berstatus naturalisasi dalam skuad Harimau Malaya.
![]() |
|
SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
|
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau menyambut baik keputusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang membenarkan FAM menggunakan pemain berstatus naturalisasi untuk memperbaiki kemerosotan prestasi skuad kebangsaan.
Namun, dalam pada masa yang sama, Syed Saddiq mengingatkan agar badan induk bola sepak negara itu tidak menyisihkan pelan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi supaya pengembangan bakat dapat diteruskan pada masa hadapan.
“Tiada masalah tetapi kita tetap perlu titikberatkan pembangunan akar umbi bola sepak ini. Kita jangan lupakan pemain nasional kita yang berkelayakan dan berkemampuan. Tapi pada masa yang sama perlu ada keseimbangan.
“Saya akan berjumpa dengan FAM pada Khamis ini untuk membincangkan hala tuju bola sepak negara khususnya dari segi pembangunan akar umbi. Kita akan cari titik persamaan bagaimana
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) boleh membantu mereka dalam mengembangkan bola sepak negara,” katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.
Dr Mahathir dalam sidang media di Parlimen hari ini menegaskan skuad bola sepak kebangsaan boleh mengambil pemain naturalisasi tetapi tidak perlu sehingga menidakkan kemampuan pemain tempatan.
Baru-baru ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mencadangkan pengambilan pemain naturalisasi ke dalam skuad kebangsaan dan ia mengundang pelbagai reaksi termasuk Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang antara lain berkata, cadangan tersebut perlu diperhalusi dengan baik.
Sementara itu, mengulas mengenai isu pemain bola sepak Bawah 16 tahun (B-16) negara, Amirul Ashrafiq Hanifah yang menerima ugutan bunuh daripada penyokong fanatik Indonesia, Syed Saddiq berkata, FAM perlu melihat perkara ini dengan lebih serius dan mungkin boleh mengambil tindakan undang-undang.
“KBS tidak boleh melangkaui batasan. Lebih baik perbincangan dilakukan antara FAM dan Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI). Saya juga telah dimaklumkan bahawa pihak kita telah mendapat jaminan keselamatan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia (Imam Nahrawi).
“Bagaimanapun, dari segi ugutan, ini kita tidak boleh toleransi. Ini adalah salah.” katanya.– BERNAMA











