Jangan lagak ‘Personal Vendetta’ - Utusan Malaysia

Jangan lagak ‘Personal Vendetta’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 4 Julai – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diingatkan agar jangan cuba berlagak seperti ‘Personal Vendetta’ dalam isu perkahwinan bawah umur sehingga menjadi tular di seluruh negara.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, isu itu tidak wajar disensasikan kerana tidak dibincangkan secara teliti sehingga menimbulkan prejudis dalam kalangan masyarakat.

“Perkahwinan itu berlaku di luar Kelantan iaitu di Thailand, kerajaan negeri sudah serahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Kahwin pada usia muda adalah benda biasa. Kalau kawan-kawan saya pada umur 15 hingga 16 tahun sudah kahwin, perkara yang sudah jadi norma dalam kehidupan malah agama juga tidak salah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Kes yang tular di media sosial itu mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang menjelaskan perkahwinan itu tidak sah mengikut undang-undang kerana bapa kepada kanak-kanak perempuan tersebut gagal mendapatkan kelulusan mahkamah bagi mewalikan anaknya menjadi isteri kepada lelaki itu.

Mengulas lanjut, Mohamad Amar berkata, isu lebih besar yang patut disensasikan adalah tentang budaya seks songsang yang semakin menjadi-jadi di negara ini.

“Isu kahwin bawah umur adalah terpencil sedangkan isu zina, seks songsang seperti gay dan lesbian lebih besar impaknya pada negara.

“Tidak sepatutnya kita overreact (berlebihan) dalam isu ini (kahwin bawah umur),” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN