Jangan kelirukan isu UEC - Utusan Malaysia

Jangan kelirukan isu UEC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 13 Julai lalu, laman web rasmi DAP (www.roketkini.com) memaparkan tulisan seorang pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bernama Joyce Tan yang cuba mempertahankan rancangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengiktiraf sijil ‘import’ tersebut.

Tan mendakwa sijil UEC telah diterima untuk kemasukan ke Universiti Oxford, Universiti Cambridge, Universiti Kebangsaan Australia, Universiti Kyoto, Institut Teknologi California dan Universiti Peking.

Saya sangat meragui dakwaannya mengenai penerimaan sijil UEC di universiti terkemuka di Barat, mungkin betul jika di Taiwan, Hong Kong dan China tetapi seperti ‘tidak masuk akal’ sijil tersebut diterima di tempat lain sedangkan Malaysia pun belum mengiktirafnya.

Malah, dia cuba mengelirukan pembaca dengan mendakwa semakin ramai ibu bapa dalam kalangan orang Melayu yang menghantar anak ke sekolah menengah persendirian Cina dengan menggunakan statistik kemasukan anak Melayu ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) iaitu sekolah rendah kelolaan Kementerian Pendidikan.

Orang Melayu menghantar anak ke SJKC supaya dapat mempelajari bahasa Mandarin dan ‘mencuba’ sistem pendidikan yang kononnya lebih baik daripada pendidikan kebangsaan, bukannya menyokong UEC.

Lebih melucukan bila Joyce mendakwa Dong Zong menitikberatkan penguasaan bahasa Melayu. Jika benar, kenapa pembelajaran dibuat dalam bahasa Mandarin?

Bukankah Dong Zong yang menolak syarat lulus bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyebabkan kerajaan Barisan Nasional dahulu tidak mengiktiraf UEC? Malah, Dong Zong juga dahulu menentang kehadiran guru Melayu dalam mana-mana sekolah Cina.

Di penghujung tulisannya, Joyce menyatakan UEC adalah isu pendidikan dan bukannya isu kaum atau politik. Namun, dia dan mungkin DAP juga tidak faham atau buat-buat tidak faham bantahan orang Melayu juga atas dasar pendidikan dan perpaduan rakyat, bukannya sebab perkauman atau politik.

Jika isu politik, kenapa ramai akar umbi PH sendiri membantah sekalipun pemimpin mereka ‘kecut perut’ untuk bersuara? Jika mahu kata isu perkauman, agaknya UEC menguntungkan kaum mana? Cuba berikan statistik berapa ramai pelajar Melayu dan India mengambil peperiksaan UEC.

HISHAMUDIN HASSAN

Pemegang sijil SPM & STPM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN