KUALA LUMPUR – Syarikat bumiputera, Lobster Air Tawar Enterprise, menawarkan peluang menjana pendapatan tambahan yang lumayan dengan menternak sendiri udang kara air tawar di kediaman masing-masing dengan cara yang mudah.
Pengasas syarikat, Amru Najmi Osman berkata, perniagaan itu hanya memerlukan modal awal di bawah RM200 untuk membeli bekas plastik sesuai untuk penternakan dan penyediaan sistem aliran air yang boleh dipasang sendiri.
Menurutnya, melalui saiz udang kara yang cukup matang lebih daripada tujuh inci, ia boleh dijual pada harga RM90 sekilogram.
Menurut beliau, penternakan udang kara air tawar boleh dibahagikan kepada dua segmen iaitu pembenihan dan juga jualan runcit kepada pelanggan untuk dimasak di rumah, restoran atau hotel.
“Udang kara air tawar senang diternak kerana ia tidak mudah mati serta bukan satu spesies yang sensitif kepada persekitaran serta proses pembiakannya juga adalah pantas.
“Jualan benih berdasarkan kepada saiz udang iaitu RM5 untuk yang bersaiz antara tiga hingga empat inci manakala RM12 bagi saiz lima hingga tujuh inci.
“Kebanyakan pelanggan membeli udang kara air tawar bersaiz tiga inci berikutan proses pembesarannya yang cepat iaitu seinci dalam tempoh sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Putra Perdana Puchong, Selangor baru-baru ini.
Amru menerangkan, udang kara air tawar induk sering dijual di pasaran pada saiz antara tiga hingga empat inci manakala telur udang akan menetas dalam tempoh 40 hari selepas disenyawakan dan setiap induk betina mampu bertelur antara 200 hingga 1,000 ekor anak setiap kali bertelur.
“Induk mampu bertelur tiga kali setahun, sehubungan itu, ia amat mudah dipelihara dan dikendalikan oleh setiap golongan,” ujarnya.
Amru menjelaskan, perniagaan yang diceburinya sejak setahun lalu itu kini mampu mencatat jualan sehingga lebih daripada 40 kilogram sebulan yang melibatkan nilai lebih daripada RM6,000.
“Kebanyakan pembeli terdiri daripada pelanggan setia dan mereka yang pertama kali membelinya terus berminat untuk berjinak-jinak dalam penternakan tersebut” jelasnya.
Mengulas mengenai tawaran kursus penternakan udang kara air tawar yang dianjurkan, Amru menerangkan, program itu dibuka kepada 30 orang pada setiap sesi selama empat jam dengan bayaran RM100.
Menurutnya, dalam kursus tersebut, mereka akan mempelajari secara teori dan praktikal mengenai penternakan udang kara air tawar dengan terperinci.
“Sehingga kini, saya menerima ramai peserta kursus yang kebanyakannya daripada golongan profesional.
“Mereka mahu menjadikan ia sebagai hobi, malah ada yang mampu menjana pendapatan sampingan,” katanya.










