SHAH ALAM – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memecahkan sejumlah botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, Selangor tahun lalu.
Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menjatuhkan hukuman tersebut selepas Jamal, 48, membuat pengakuan berkenaan pada sebutan kali ketiga selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Jamal didakwa melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak menggunakan penukul besi sehingga mendatangkan bencana, bahaya dan kegusaran awam.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan pintu pagar keluar pos (1), bangunan SUK, Shah Alam pada pukul 10.15 pagi, 5 Oktober tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM400.
Terdahulu, Jamal yang memakai sut berwarna hitam tiba di mahkamah kira-kira pukul 9.15 pagi dengan kawalan ketat 20 pegawai dan 40 anggota polis.
Pada prosiding hari ini juga, lebih 50 penyokong Jamal hadir seawal kira-kira pukul 8 pagi bagi memberi sokongan kepada beliau.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Haziqah Zulkifli manakala Jamal diwakili Peguam Datuk Mohd. Imran Tamrin. – K! ONLINE











