SHAH ALAM – Polis akan mempercepatkan proses ekstradisi Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos ke negara ini selepas ditahan oleh Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) kelmarin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, ini bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat dilakukan terhadap Jamal yang menjadi buruan polis selepas gagal dalam proses dokumentasi ikat jamin sebelum ini.
Katanya, pihaknya telah berhubung dengan POLRI mengenainya namun perlu melalui proses tertentu.
“Saya tidak dapat maklumat terperinci walaupun ada berhubung dengan pihak rakan POLRI yang mengesahkan penangkapan Jamal dan beliau berada dalam keadaan baik.
“Kita berharap akan membawa beliau ke negara ini namun bergantung kepada persetujuan pihak berkuasa Indonesia,” katanya ketika ditemui pemberita semasa majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Beliau menambah, waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Pengerusi Gabungan NGO Malaysia itu sebelum ini masih berkuat kuasa dan pihaknya percaya Jamal melarikan ke Indonesia menggunakan laluan tikus.
“Setakat ini, kita tidak tahu bagaimana Jamal ditahan (sama ada berseorangan atau tidak serta sedang mengunting rambut) kerana itu peranan POLRI,” jelasnya.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dalam satu kenyataan menegaskan Jamal berjaya ditangkap POLRI pada pukul 6.15 petang (waktu tempatan) kelmarin.
Berdasarkan portal berita Indonesia, Detik.com, melaporkan Jamal ditangkap di Tebet, Jakarta Selatan.
Jamal sebelum ini menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri, Selangor pada 25 Mei lalu.
Kehilangannya disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira pukul 5.30 petang. – K! ONLINE










