MELAKA 24 Julai – Masalah jalan berlubang bagaikan tiada kesudahan dan keadaan itu boleh dilihat dengan jelas di Jalan Ujung Padang Cheng di sini, bersebelahan dengan Rumah Seri Kenangan Melaka dekat sini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati keadaan jalan yang tidak ubah seperti kawah itu menyebabkan penduduk terpaksa memandu berhati-hati kerana bimbang kenderaan mereka terperosok ke dalam lubang.
Keadaan ini juga menyebabkan masa perjalanan bertambah walaupun ke destinasi yang dekat kerana pemandu dan penunggang perlu memandu perlahan untuk mengelak lubang
Utusan Malaysia difahamkan, masalah itu berlaku sejak sekian lama, namun sehingga hari ini tiada sebarang tindakan diambil pihak berkuasa.
Sementara itu, pihak Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah ketika dihubungi berjanji akan mengambil tindakan segera dengan meminta bantuan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah untuk menampal jalan yang berlubang untuk keselamatan dan keselesaan pengguna.










