JEMPOL 18 Julai – Jalan utama dalam kawasan kampung antara Kampung Serting Ilir dan Kampung Gajah Mati dekat sini memerlukan perhatian segera pihak berwajib ekoran keadaan jalan yang rosak dan berlubang sejak sekian lama.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati jalan itu merupakan laluan utama ibu-bapa dari kedua-dua kampung berkenaan untuk menghantar anak ke sekolah.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Helmi, 31, berkata, isu tersebut telah lama berlaku tetapi tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa.
“Masalah ini membahayakan orang ramai terutama penunggang motosikal yang melalui jalan ini pada waktu malam dan ketika hujan,’’ katanya.
Menurut Helmi, kerja-kerja penurapan dan baik pulih perlu disegerakan demi keselesaan dan keselamatan penduduk.
“Walaupun masalah ini berlaku di kampung, pihak berwajib tidak boleh memandang remeh perkara ini kerana ia melibatkan soal keselamatan penduduk,’’ katanya.










