MEKAH 24 Julai – Para jemaah diminta menjaga dengan baik gelang dan lencana masing-masing agar tidak tercicir atau hilang kerana itu merupakan pengenalan diri masing-masing sepanjang mengerjakan haji.
Menurut Pengarah Operasi Mekah, Datuk Ahmad Sohaimi Abd. Rahim, kedua-duanya adalah barangan penting yang dibekalkan Tabung Haji kepada setiap jemaah sebagai ganti pasport.
Justeru, katanya, jemaah perlu anggap kedua-dua barang itu sebagai dokumen penting masing-masing.
“Sepanjang di tanah suci pasport tidak bersama dengan jemaah, ia berada dengan pihak berkuasa Arab Saudi. Sebagai ganti, dua barangan ini adalah dokumen penting kepada jemaah.
“Jadi, jaga baik-baik dua barang ini di mana jua mereka berada,” katanya di sini.
Menurut beliau, gelang dan lencana itu banyak gunanya kerana memudahkan pihak berkuasa Arab Saudi atau pihak lain mengenali pemiliknya sebagai jemaah haji Malaysia.
Jelasnya, kedua-duanya mengandungi beberapa pengenalan utama yang memudahkan pihak lain memberi bantuan jika jemaah sesat atau menghadapi masalah.
Dalam pada itu beliau memberitahu, pada tahun ini pihaknya memperkenalkan sistem kod untuk menguruskan aduan-aduan yang diterima daripada jemaah.
Menurut beliau, ada 17 kod aduan disediakan meliputi tiga kategori iaitu aduan ringan seperti hilang lencana dan gelang yang boleh diganti segera diikuti kategori sederhana seperti masalah bilik penginapan.










