PUTRAJAYA 4 Julai – Jabatan Imigresen telah membatalkan pasport antarabangsa ahli perniagaan, Taek Jho atau Jho Low berkuat kuasa pada 15 Jun lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, keputusan itu diambil setelah mendapat permohonan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull terhadap Jho Low yang disiasat berhubung skandal kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Maka dengan ini, pasport Jho Low dibatalkan dengan serta-merta berdasarkan arahan Ketua Pengarah Imigresen.
“Datuk Seri Mohd. Shukri telah menghubungi saya dan meminta agar pasport Jho Low dibatalkan berhubung siasatan 1MDB,” katanya ketika ditemui selepas
Majlis Sambutan Aidilfitri Bahagian Pengurusan Jabatan Imigresen di sini hari ini.
Sementara itu, Mustafar mengesahkan, Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos melarikan dari negara ini ke Indonesia melalui ‘laluan tikus’ di Tanjung Balai.
Katanya, Jabatan Imigresen akan mengambil tindakan terhadap Jamal sebaik tiba di Malaysia kerana pergi ke luar negara tanpa melalui saluran yang sah.
“Kita akan melihat peraturan tertentu di bawah Akta Imigresen untuk mengambil tindakan ke atas beliau,” katanya. – UTUSAN ONLINE










