Isyhraf semakin kuat terima takdir ibu, adik sudah tiada - Utusan Malaysia

Isyhraf semakin kuat terima takdir ibu, adik sudah tiada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Julai – Ketabahan adik Muhammad Adif Isyhraf Mohd Syukri menghadapi saat kehilangan serentak dua insan yang disayangi, iaitu ibunya, Norashida Abd Karim, 33, dan seorang adik yang selama ini amat diingininya meruntun hati netizen apabila tular baru-baru ini.

Adif Isyhraf, 7, yang kini tinggal sementara bersama neneknya dilaporkan dalam keadaan baik dan semakin kuat menghadapi hari-hari yang mendatang.

Menurut bapa saudaranya, Zuhairy Abd Karim, 37, seluruh ahli keluarga bersama Adif Isyhraf dan sentiasa memberi sokongan moral kepadanya.

“Kami sering menasihatinya dan memberikan kata-kata semangat agar terus kuat. Kami cakap dengan anak buah saya itu bahawa kami sekeluarga akan menyayanginya dan tidak akan membiarkan dirinya begitu sahaja,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Kisah adik Adif Isyhraf tular di media sosial dengan mendapat perkongsian lebih 50,000 dengan rata-rata netizen berkongsi kesedihannya malah difahamkan dia merupakan anak sulung pasangan itu yang menantikan kelahiran ‘orang baru’ selepas tujuh tahun menanti.

Sementara itu, Zuhairy menyangkal dakwaan netizen yang mengatakan adik kandungnya, Norashida Abd Karim, 33, meninggal dunia akibat pendarahan ketika bersalin.

Katanya, arwah adik perempuanya itu meninggal akibat saluran darah paru-paru tersumbat dan anak buahnya meninggal ketika dalam kandungan lagi.

“Ketika ‘scan’ di hospital tempoh hari, doktor mengesahkan anak buah saya meninggal dalam kandungan difahamkan akibat terjerut tali pusat.

“Arwah adik saya itu sempat melahirkan anaknya secara normal dan sempat memeluk jenazah namun selepas beberapa jam kemudian adik saya beritahu matanya kabur dan pengsan. 

“Doktor mengesahkan bahawa arwah adik saya meninggal akibat saluran darah paru-paru tersumbat dan kami sekeluarga redha dengan ketentuan takdir,” ujarnya.

Sementara itu, dia berharap agar orang ramai tidak lagi membuat sebarang spekulasi berkaitan adiknya itu dan memohon agar orang ramai mendoakan kesejahteraan kepada dia sekeluarga.

“Saya harap tiada lagi persoalan yang timbul dalam kalangan netizen berkaitan arwah adik saya itu dan berharap agar kami diberikan kekutan untuk menempuhi hari-hari yang mendatang,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN