Isu skirt pendek main catur: Sophian setuju selesai kes cara baik dengan Zuraida - Utusan Malaysia

Isu skirt pendek main catur: Sophian setuju selesai kes cara baik dengan Zuraida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kes saman antara Setiausaha Persekutuan Catur Malaysia, Sophian A.Yusof dengan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin berhubung kenyataan fitnah isu skirt pendek kanak-kanak perempuan yang menyertai pertandingan catur tahun lalu, berjaya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi.

Pesuruhjaya Kehakiman, Rohani Ismail merekodkan penghakiman persetujuan selepas kedua-dua belah pihak bersetuju menyelesaikan kes itu.

Penyelesaian itu direkodkan dengan kehadiran Sophian yang diwakili peguam, Mohd. Harris Abdullah.

Bagaimanapun Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak hadir ketika penyelesaian dibuat dan hanya mewakilkan peguamnya, Latheefa Koya.

Zuraida tidak hadir disebabkan mempunyai urusan di Parlimen.

Sophian, 44, selaku plaintif memfailkan saman itu pada 20 November 2017 selepas mendakwa Zuraida, 60, mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah pada 29 April 2017 berhubung tindakannya tidak membenarkan kanak-kanak berusia 12 tahun itu daripada menyertai pertandingan catur yang diadakan di Putrajaya pada 14 hingga 16 April 2017.

Dalam pernyataan tuntutan, Sophian yang ketika itu dilantik sebagai pengarah pertandingan bagi Kejuaraan Catur Scholastic Kebangsaan 2017 mendakwa kenyataan itu telah diterbitkan oleh akhbar dan beberapa portal termasuk MalaysiaKini dan Sin Chew Daily, semata-mata untuk mengaibkan dan menjatuhkan reputasi serta integriti beliau selaku orang ternama serta terkenal dalam dunia catur tempatan dan antarabangsa.

Plaintif turut mendakwa kenyataan itu antara lain membawa maksud bahawa beliau adalah seorang pedophilia dan terangsang apabila melihat skirt pendek yang dipakai kanak-kanak perempuan berkenaan selain mendakwa beliau berpotensi untuk melakukan salah laku seks.

Oleh sebab itu, plaintif menuntut perintah mahkamah supaya defendan menarik balik kenyataan itu dan memohon injunksi kekal untuk melarang defendan atau wakil atau agennya daripada menerbitkan semula kenyataan berkenaan selain menuntut permohonan maaf daripada defendan.

Turut dituntut ganti rugi am, khas, teladan dan teruk, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Zuraida dalam penyataan pembelaan yang difailkan pada 18 Januari lepas mendakwa kenyataan yang dikeluarkannya hanya berdasarkan pendapat yang diberikan secara komen berpatutan tanpa sebarang niat jahat. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN