SAO PAULO 30 Julai – Neymar menggunakan iklan penaja untuk menjawab reaksi terhadap ‘lakonannya’ di atas padang apabila dikasari pemain lawan termasuk merebahkan badan, berguling dan bertelingkah dengan pengadil pada Piala Dunia 2018 di Rusia.
Video yang dirakam pada Ahad dan disiarkan di beberapa rangkaian televisyen Brazil memaparkan penyerang tersebut menerima kritikan buat kali pertama dan berjanji untuk memperbaiki tingkah lakunya itu.
Penyerang tersebut menjaringkan dua gol pada pertandingan itu dan mempamerkan aksi yang tidak begitu menghampakan sehinggalah pasukannya tersingkir setelah tewas kepada Belgium di suku akhir, tetapi peminat serta pemain lebih banyak mengulas mengenai lakonannya di atas padang, termasuk sengaja merebahkan badan, berguling dan kerap bertelingkah dengan pengadil.
“Anda mungkin berfikir saya sengaja membesar-besarkan perkara ini. Kadang kala saya akui ada berbuat demikian. Tetapi kebenarannya saya menderita ketika di dalam padang,” kata Neymar dalam sebuah iklan yang ditaja oleh produk penjagaan kebersihan diri, Gillette.
Sejak Brazil tersingkir, Neymar hanya bercakap tentang kekalahannya di Rusia menerusi media sosial, Instagram. Dalam iklan tersebut pemain itu cuba menjelaskan mengapa dia tidak memberikan sebarang komen selepas perlawanan dengan Belgium, sehingga menyebabkan bintang Paris Saint-Germain itu dikritik di tanah airnya.
“Sewaktu saya melangkah keluar padang tanpa memberikan sebarang temubual, ia bukan kerana saya mahu diraikan ketika kemenangan sahaja. Ini kerana saya masih tidak pandai untuk belajar mengecewakan anda semua.
“Apabila saya kelihatan bersikap seperti tidak sopan, ia bukan kerana saya seorang anak yang manja. Ia hanya disebabkan saya tidak boleh menerima erti kekecewaan,” kata pemain itu.
Neymar berkata, gaya permainannya sama seperti budak lelaki yang kadang kala terpesona dengan dunia dan ada kalanya membuat orang lain meluat.
“Anda boleh sahaja terus melontarkan batu ke arah saya. Ataupun membuang batu itu jauh-jauh dan bantu saya untuk berdiri,” ujar Neymar. – AP










