PUTRAJAYA 4 Jun – Isu kos sara hidup menjadi isu utama yang perlu ditangani oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam usaha menjamin kesejahteraan rakyat.
Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution berkata, sehubungan itu semua pihak perlu berganding bahu serta mengerah tenaga menguruskan su berkenaan.
“Kita memerlukan masa untuk menangani perkara ini. Harga yang naik bukan sahaja melibatkan dasar kerajaan tetapi juga merangkumi hal ehwal peniaga serta pengguna.
“Dalam hal ini, kita perlu pastikan pengguna perlu diperkasakan, penguatkuasaan dipertingkatkan dan peniaga didekati,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Nota Serah Tugas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di sini hari ini.
Yang turut hadir, bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin. – UTUSAN ONLINE











