TUNTUTAN CINA TERHADAP DR. MAHATHIR
AKHBAR Oriental Daily News bertarikh 12 Julai 2018 memaparkan tulisan Cheah See Kian yang mengupas mengenai harapan orang Cina terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad. Dalam artikel bertajuk Mahathir isytihar perang rasuah menerusi ruangan ODN Column dalam muka surat 36 itu menyifatkan tindakan Dr. Mahathir membuat rombakan secara besar-besaran terhadap ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat milik kerajaan (GLC) kerana dibayar gaji lima kali ganda adalah satu cara terbaik dan amat tepat.
Namun, beliau juga perlu melakukan tindakan serupa terhadap jawatan canselor di universiti awam. Sejak merdeka, jawatan itu tidak pernah diwujudkan kepada cendekiawan dalam kalangan orang Cina.
Kenapa tradisi ini tidak diwujudkan sedangkan mereka juga boleh membuat keputusan bersifat bebas di universiti. Selain itu, jarang kelihatan orang Cina dilantik CEO di GLC. Siapakah yang menentukan peraturan sebegitu selama ini?
Walaupun Dr. Mahathir berkuasa selama 22 tahun (1981-2003), beliau juga tidak pernah memperbetulkan cara tidak adil itu.
Sehubungan itu, kami berharap di bawah kepemimpinan kerajaan baharu ini, mereka mampu berfikiran baharu agar semua kaum turut rasa dihormati dan diambil peduli.
Ini sekali gus menunjukkan bahawa kerajaan mengangkat orang berkebolehan dan bukannya dipilih atas sebab warna kulit.
Dr. Mahathir tidak boleh lupa bahawa perjalanan politik beliau sebanyak dua kali memegang jawatan Perdana Menteri adalah kerana mendapat sokongan daripada orang Cina.
Sokongan pertama yang diberikan kepada beliau pada 1991 apabila isu reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga berlaku tsunami politik besar kepada masyarakat Melayu (di Pantai Timur) yang akhirnya Pas dapat bangkit menguasai dua negeri di Pantai Timur. Buat pertama kalinya Pas memiliki paling banyak kerusi Parlimen iaitu sebanyak 27 kerusi.
Jika bukan kerana orang Cina yang condong menyokong Barisan Nasional (BN) ketika itu, tidak mungkin Dr. Mahathir dapat terus berkuasa dan menang majoriti dua pertiga kerusi Parlimen. Tahun yang sama ketika itu Lim Kit Siang dan Karpal Singh tewas di kebanyakan kawasan Cina disebabkan orang Cina tidak boleh menerima hakikat kenapa Kit Siang boleh bergabung dengan Pas.
Sokongan kedua ialah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun ini. Dr. Mahathir buat pertama kali memimpin parti pembangkang dan menubuhkan Pakatan Harapan.
Ketika itu pembangkang tidak yakin boleh menang dan menumbangkan BN. Tetapi, di luar jangkaan, kali ini atas tiket undi Cina, lebih 95 peratus menyokong Pakatan Harapan sekali gus mengangkat sekali lagi Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.
Justeru, kami orang Cina tidak berdendam kepada Dr. Mahathir tentang isu-isu lalu, malah menyokong beliau untuk merealisasikan kerajaan baharu. Sebab itu, jika mahu disebutkan bahawa negara ini sebagai negara kekitaan kepada orang Cina, maka itu adalah sepatutnya. Lembaran baharu dalam sejarah sudah dibuka termasuk pelantikan jawatan-jawatan tinggi dalam kerajaan dan kementerian yang sepatutnya mengambil kira orang Cina dan kaum lain supaya Malaysia menjadi sebuah negara yang benar-benar untuk pelbagai kaum.
PEMBENTUKAN KABINET DR. MAHATHIR
AKHBAR Nanyang Siangpau bertarikh 10 Julai 2018 pula memaparkan tulisan Liew Ann Thai yang mengupas mengenai pembentukan Kabinet oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan. Selepas PRU-14, pelantikan menteri-menteri Kabinet dilewatkan sehingga 2 Julai lalu, barulah tertubuhnya 25 kementerian dengan pelantikan 26 menteri dan 23 timbalan menteri. Ia menyaksikan penubuhan Kabinet paling lewat dalam sejarah negara.
Dalam artikel bertajuk adakah Mahathir masih berpegang kepada kroni-kroni? menerusi ruangan Opinion dalam muka surat C2 itu menyifatkan bahawa di bawah Kabinet kerajaan baharu ini, ada baik dan dangkalnya. Dari sudut kebaikannya, barisan Kabinet kali ini dikecilkan kepada 29 Menteri sahaja berbanding kerajaan BN sebanyak 35 orang. Seramai tujuh wakil orang muda atau lebih 27 peratus adalah mereka yang berumur 50 tahun ke bawah. Seramai lima wanita pula dipilih sebagai menteri.
Lebih menyerlah dalam Kabinet kali ini tentunya usia 93 tahun Perdana Menteri sendiri. Turut mencipta sejarah ialah pelantikan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama. Lim Guan Eng pula memecah rekod penantian selepas 44 tahun pelantikan Menteri Kewangan dalam kalangan Cina. Selain itu, Gobind Singh Deo memecah tradisi satu-satunya kaum Singh di negara ini dan yang ketiga di dunia dilantik menjadi menteri.
Dari segi kedangkalannya pula, pelantikan anggota-anggota Kabinet adalah tidak selari dari segi nisbah kerusi yang dimenangi oleh parti. PKR memperoleh hanya tujuh jawatan menteri dan timbalan menteri atau 28 peratus berbanding 48 peratus kerusi parlimen yang dimenanginya. Walaupun DAP menang 42 kerusi parlimen, parti itu hanya mewakili 24 peratus jawatan dalam Kabinet. PPBM pula mendapat enam jawatan menteri dan empat timbalan menteri walaupun memenangi 13 kerusi parlimen. Amanah memperoleh lima jawatan menteri dan empat timbalan menteri (menang lapan kerusi parlimen) serta Warisan diberikan tiga jawatan menteri dan dua timbalan menteri (menang lapan kerusi parlimen).
Dr. Mahathir yang menggunakan kuasa penuhnya melantik menteri-menteri Kabinet dilihat tidak membuat pembahagian sama rata dalam soal itu. Beliau lebih berpihak kepada parti sendiri dan mereka yang mempunyai hubungan rapat dengannya.
Bagaimanapun, dari segi kepemimpinan Dr. Mahathir, beliau mengetahui kelebihan seseorang, memberikan jawatan dan kepercayaan kepada orang yang mempunyai kaitan dengan sejarah perjalanan politiknya.









