PUTRAJAYA – Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar hari ini memberi jaminan isu air yang telah berlarutan sejak sekian lama di Selangor akan selesai dalam tempoh sebulan.
Katanya, beliau telah mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan termasuk Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berhubung perkara itu dan sehingga kini, tidak banyak lagi isu yang perlu dimuktamadkan.
“Hanya sedikit yang belum disetujukan namun kita percaya ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Saya akan minta jemaah menteri untuk lanjutkan tempoh sebulan lagi,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Xavier Jayakumar yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat, melapor diri di Wisma Sumber Asli di sini hari ini selepas mengangkat sumpah setelah dilantik menerajui kementerian itu, semalam.
Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Azizan Ahmad dan ketua-ketua pengarah jabatan dan agensi di bawah kementerian yang baru diwujudkan itu. – Bernama










