GAZA CITY 17 Julai – Israel terus meningkatkan tekanan terhadap penduduk Palestin di Genting Gaza apabila menghalang penghantaran minyak daripada memasuki pintu sempadan komersial ke semenanjung itu selepas beberapa layang-layang yang membawa bom api membakar ladang milik penduduk Yahudi.
Langkah sekatan terbaharu itu diumumkan Kementerian Pertahanan Israel malam tadi selepas melaksanakan langkah menutup pintu sempadan Kerem Shalom daripada kemasukan kebanyakan barangan sejak minggu lalu dengan memberi alasan tindakan diambil ekoran layang-layang dan belon yang membawa bom api ke wilayah tersebut.
“Penghantaran minyak akan dihentikan sehingga Ahad,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Tidak cukup dengan melancarkan serangan bom ke atas kedudukan pejuang Palestin, rejim Zionis turut mengecilkan zon tangkapan ikan bagi penduduk Palestin daripada enam batu nautika kepada tiga batu nautika.
Bagaimanapun, Kerem Shalom tetap dibuka bagi penghantaran makanan dan perubatan mengikut kes individu,
“Berikutan serangan berterusan dilakukan Hamas, Menteri Pertahanan, Avigdor Lieberman selepas berbincang dengan ketua turus tentera memutuskan untuk menutup Kerem Shalom bagi penghantaran minyak dan gas sehingga Ahad,” kata kenyataan itu.
Hamas yang menguasai semenanjung Gaza dan melancarkan perang tiga tahun ke atas Israel sejak 2008 mengutuk langkah rejim.
Mereka menyifatkan langkah Israel minggu lalu sebagai jenayah ke atas kemanusiaan.
Penduduk Gaza menganggap tindakan melepaskan belon dan layang-layang sebagai langkah penentangan yang sah terhadap sekatan lebih berdekad lamanya oleh Israel.
Pintu sempadan yang ditutup itu merupakan satu-satunya laluan antara Gaza dan Israel bagi membawa barang-barangan sementara satu lagi pintu sempadan berasingan yang dikenali sebagai Erez bagi urusan keluar masuk penduduk.
Satu lagi pintu sempadan penduduk Gaza adalah sempadan Mesir yang sebelum ini ditutup sepanjang masa sebelum Kaherah membukanya kembali sejak pertengahan Mei lalu.
Laporan media Israel mendakwa Mesir akan menutup pintu sempadan mereka dengan Gaza tetapi belum ada pengesahan rasmi mengenainya.
Pihak berkuasa Israel mendakwa, ratusan layang-layang dan belon yang membawa bom api dari Gaza mengakibatkan kerosakan besar dengan 2,600 hektar ladang penduduk Israel terbakar akibat kira-kira 750 kebakaran akibat bahan bakar tersebut.
Sementara itu, sebuah jet pejuang Israel mengebom dua pos kawalan Hamas di Gaza semalam sebagai tindakan balas terhadap belon membawa bom api oleh penduduk Gaza dengan menyasarkan kawasan berhampiran belon api dilepaskan. – AFP










