GAZA CITY 21 Julai – Pesawat dan kereta kebal tentera Israel membedil Semenanjung Gaza semalam menyebabkan tiga anggota pergerakan Hamas maut manakala seorang penduduk Palestin mati ditembak semasa bantahan di sempadan Israel-Gaza, semalam.
Menurut kenyataan tentera rejim zionis, tenteranya membedil sasaran ketenteraan Hamas di seluruh Semenanjung Gaza sebagai tindak balas selepas tembakan dilepaskan ke arah anggotanya semasa bantahan berkenaan.
Difahamkan seorang anggota tentera Israel mati ditembak penduduk Palestin yang menyertai bantahan berkenaan.
Hamas telah mengeluarkan senarai nama pejuang mereka yang terbunuh dalam kejadian itu iaitu Shaban Abu Khatar, Mohammed Abu Farhana dan Mahmoud Qushta.
Mahmoud terbunuh di Rafah manakala seorang lagi mangsa dikenali sebagai Mohammed Badwan mati ditembak tentera Israel semasa bantahan di sempadan tersebut.
Tentera Israel memberitahu pesawat dan kereta kebal mereka menyasarkan lapan kubu tentera Hamas.
Sementara itu, pemimpin Hamas dan Israel bersetuju mengadakan gencatan senjata hari ini ekoran ketegangan tersebut.
Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum dalam kenyataannya memberitahu, persetujuan dicapai dengan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Mesir untuk mengembalikan keamanan.
Ini merupakan persetujuan gencatan senjata kedua antara kedua-dua pihak dalam tempoh seminggu dan dipersetujui ekoran kebimbangan tercetusnya perang baharu.
Israel telah membedil berpuluh-puluh kawasan kumpulan pejuang di Semenanjung Gaza pada Sabtu minggu lalu menyebabkan dua remaja Palestin terkorban.
Pada hari sama sebanyak 200 roket dan mortar dilancarkan ke Israel dari Gaza dan empat anggota tentera rejim zionis cedera selepas salah sebuah roket mengenai sebuah rumah berhampiran bandar Sderot, Israel. – AFP










