KUALA LUMPUR 16 Julai – Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Lokman Hakim Ali mengesahkan bahawa Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Zabidi telah ditamatkan perkhidmatannya selaras dengan saranan kerajaan untuk menamatkan khidmat pegawai kontrak melalui lantikan politik.
Tambah Lokman, selain jawatan Pengerusi ISN, turut terlibat adalah Ahli Lembaga yang dilantik oleh Kerajaan dahulu dalam agensi kementerian tersebut.
“Kesemua mereka telah menerima surat Terima Kasih daripada Menteri Belia dan Sukan yang baharu.
“Buat masa ini pengganti untuk jawatan Pengerusi ISN masih diperingkat perbincangan dengan Menteri dan pihak kami mengucapkan terima kasih kepada Abdul Azim atas sumbangannya bersama organisasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Abdul Azim dilantik mengalas tugas Pengerusi ISN pada Mei 2017 bagi menggantikan Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria selepas mendapat persetujuan Menteri Belia dan Sukan sebelum ini iaitu Khairy Jamaluddin.
Sementara itu, Lokman turut memberitahu bahawa tiada apa-apa perubahan diperingkat pengurusan tertinggi Majlis Sukan Negara (MSN) akan berlaku buat masa ini.
“Bagi Jawatan Ketua Pengarah MSN akan kekal milik Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan ia adalah jawatan lantikan hakiki manakala hanya jawatan yang telah tamat tempoh sahaja akan berubah,” kata Lokman. – UTUSAN ONLINE










