KUALA LUMPUR 25 Julai – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan menilai tiga pemain perseorangan negara Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lim Chi Wing dan Tan Jia Wei bagi menggantikan tempat Datuk Lee Chong Wei, yang terpaksa digugurkan ke Sukan Asia ekoran masalah kesihatan.

Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai berkata, hasil penilaian tersebut kemudian akan diserah kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sekurang-kurangnya sehari sebelum temasya di Jakarta dan Palembang itu bermula pada 18 Ogos ini.
“Berdasarkan senarai panjang yang dihantar kepada MOM sebelum ini, tiga nama ini boleh dipertimbangkan tiada masalah. Biasanya kita akan ikut cadangan daripada ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek.
“Kalau cadangannya munasabah, kita akan ikut apa yang diusulkan oleh Misbun. Sebab kita tak sempat nak buat mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan.
“Jadi, jika tiada masalah kita akan buat keputusan terus,” katanya dalam sidang akhbar di Akademi Badminton Negara di Bukit Kiara di sini hari ini.
Semalam, BAM mengesahkan pemenang tiga kali pingat perak Sukan Olimpik itu tidak akan menyertai Kejohanan Dunia di Nanjing, China pada Isnin ini, termasuk Sukan Asia setelah dinasihatkan oleh doktornya agar berehat dan menjalani rawatan selepas mengalami masalah berkaitan respiratori.- UTUSAN ONLINE










