Inovasikan bantuan untuk kumpulan sasaran - Utusan Malaysia

Inovasikan bantuan untuk kumpulan sasaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 16 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mahu proses pemberian bantuan kepada kumpulan sasaran ditambah baik menerusi inovasi baharu yang boleh menjimatkan dan mengurangkan kos.

Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail

Dalam usaha itu, beliau mahu satu kajian dilakukan terhadap pelaksanaan teknologi pembayaran tanpa tunai seperti yang dilaksanakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MyKasih.

“Saya telah meminta ketua setiausaha untuk mengkaji pelaksanaan teknologi pembayaran tanpa tunai yang digunakan oleh MyKasih. Saya sangat berharap ia akan menjadi satu proses inovasi untuk mempercepatkan pemberian bantuan dan mengurangkan kos.

“Jangan terkongkong dengan proses dan acuan sedia ada. Gunakan segala daya kreatif untuk mewujudkan proses-proses yang menyenangkan pengguna perkhidmatan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di kementeriannya di sini, hari ini.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut melancarkan Kafe Daya iaitu sebuah kafe yang dikendalikan oleh pekerja kurang upaya yang ditempatkan di kementerian itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN