Imran Khan menang tipis pilihan raya Pakistan - Utusan Malaysia

Imran Khan menang tipis pilihan raya Pakistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD – Legenda kriket, Imran Khan memenangi pilihan raya Pakistan tetapi perlu membentuk sebuah kerajaan campuran berikutan gagal memperoleh majoriti, demikian menurut keputusan rasmi yang diumumkan semalam.

Imran terlebih dahulu mengisytiharkan kemenangannya dalam pilihan raya itu yang didakwa dicemari penipuan.

Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan (ECP) menyatakan semalam bahawa tinggal 11 kerusi yang belum dikira, manakala Parti Tehreek-e-Insaf (PTI) pimpinannya mendahului dengan 114 kerusi dan akan menjadi parti terbesar dalam Parlimen.

Menurut suruhanjaya itu, pencabar Imran, Parti Liga Muslim-Nawaz (PML-N) memenangi 63 kerusi, sementara Parti Rakyat Pakistan (PPP) yang berkemungkinan besar menjadi penentu atau king maker dalam membentuk kerajaan campuran pula mendapat 43 kerusi.

Keputusan itu membayangkan bahawa PTI tidak akan mencapai kemenangan 137 kerusi untuk membentuk kerajaan majoriti di Parlimen.

Terdahulu, pegawai-pegawai pilihan raya dikritik kerana gagal mengumumkan keputusan penuh pilihan raya itu selepas dua hari rakyat Pakistan membuang undi. Sebilangan pemerhati berkata, kelewatan itu yang tidak berlaku sebelum ini, menjejaskan ketelusan proses demokrasi tersebut.

Bagaimanapun, ECP menolak dakwaan berlakunya manipulasi. Ia sebaliknya menyalahkan masalah teknikal sebagai punca keputusan pilihan raya lewat diumumkan.

Pilihan raya kali ini menandakan peralihan demokrasi di negara kuasa nuklear Islam itu yang diperintah tentera sepanjang separuh daripada sejarah penubuhannya.

Imran, 65, mendakwa meraih kemenangan dalam pilihan raya tersebut semasa berucap kepada rakyat Pakistan kelmarin.

“Kami berjaya dan kami diberikan mandat,” kata bekas bintang kriket itu dari kediamannya di ibu kota Pakistan, Islamabad.

Beliau berkata demikian selepas penyokongnya keluar ke jalan-jalan raya untuk meraikan kemenangan pemimpin mereka, namun seteru-seterunya mendakwa bahawa kemenangan tersebut telah ditentukan oleh pihak tentera. – AFP

Imran berucap di hadapan pemberita selepas membuang undi di sebuah pusat pengundian undi di Islamabad pada Rabu lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN