Impian Benzema ke Napoli berkecai - Utusan Malaysia

Impian Benzema ke Napoli berkecai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID – Penyerang Real Madrid, Karim Benzema mengecam kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis yang menyifatkan diri sebagai tua dan tidak layak menyertai pasukan itu.

Pemain dari Perancis berusia 30 tahun itu menyifatkan De Laurentiis sebagai ‘gila’ biarpun dia sebelum ini dikatakan bakal meninggalkan Santiago Bernabeu dan menyertai Napoli.

De Laurentiis tampil dengan kenya­taan bahawa spekulasi melibatkan Benzema dan penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Edinson Cavani ke Naples sebagai mengarut kerana kedua-dua mereka tidak menepati kehendak kelab berkenaan yang memberi keutamaan kepada pemain yang lebih muda.

Sebelum ini, media di Itali melaporkan bahawa Benzema hampir pasti menyertai Napoli untuk kembali bersama Carlo Ancelotti selepas kedua-dua mereka mempunyai hubu­ngan yang baik selain berjaya membantu Real merangkul gelaran Liga Juara-Juara pada musim 2013/2014.

Namun, kenyataan yang dikeluarkan oleh De Laurentiis itu seakan melenyapkan hasrat tersebut selain Benzema juga turut berang dengan tuduhan tersebut.

“Satu lagi kenyataan gila dikeluarkan,” ujar Benzema melalui laman Instagram yang dipercayai ditujukan kepada De Laurentiis.

De Laurentiis sebelum ini menyebut bahawa Cavani setuju untuk memotong separuh daripada gaji yang diterimanya di PSG untuk kembali menyertai Napoli selepas berhijrah pada 2013.

Presiden Napoli itu juga turut mendedahkan bahawa kelabnya me­nerima tawaran dari Real untuk mendapatkan Cristiano Ronaldo sebelum melengkapkan perpindahannya ke Juventus minggu lalu. 
– Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN