PUTRAJAYA 10 Julai – Sindiket ‘Wak Jam’ yang bergerak aktif melakukan pemalsuan pasport dan cap keselamatan imigresen ditumpaskan apabila Jabatan Imigresen menahan suspek utama berumur 58 tahun semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, suspek utama itu berjaya ditahan dalam operasi pada pukul 8 malam semalam di Kampung Lindungan, Petaling Jaya, Selangor selepas sebulan melakukan risikan.
Menurutnya, suspek yang mempunyai kad pemastautin tetap (MyPR) itu berkemahiran dalam membuat pengubahsuaian pasport Indonesia dan dia ditahan kerana disyaki menjadi dalang utama dalam sindiket pemalsuan dokumen yang beroperasi sejak lima tahun lalu.
“Pelanggan tetap sindiket ini adalah dalam kalangan warga Indonesia yang telah tinggal lebih masa di Malaysia. Tindakan mereka mendapatkan cap palsu adalah bagi mengaburi mata pihak berkuasa sekiranya ditahan dalam mana-mana operasi.
“Suspek yang ditahan berperanan melakukan pengubahsuaian ke atas pasport termasuk menukar gambar, tarikh serta cap keluar masuk mengikut permintaan pelanggan selain turut memalsukan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Mustafar, turut dirampas di rumah suspek ialah 22 cap masuk Malaysia palsu, sembilan cap keluar Malaysia palsu, 14 cap masuk Indonesia palsu, 21 cap keluar Indonesia palsu dan enam cap Kedutaan Indonesia palsu.
“Kami juga merampas 11 pasport Indonesia, 38 koyakan muka surat biodata pasport Indonesia, 11 pelekat tulen PLKS yang telah diubah suai, dua telefon bimbit dan sejumlah peralatan untuk membuat dokumen palsu.
“Suspek utama yang ditahan ini mempunyai kepakaran tersendiri berdasarkan peralatan yang dirampas, dia boleh membuat pengubahsuaian pasport dengan hanya menggunakan bahan pewarna yang digunakan untuk membuat kek,” katanya.
Ujar Mustafar, sindiket berkenaan mengenakan bayaran sebanyak RM50 bagi setiap cap manakala RM100 hingga RM200 untuk ubah suai pasport dan anggaran keuntungan yang diperoleh adalah kira-kira RM50,000 sebulan.
Tambahnya, suspek yang ditahan telah dibawa ke Ibu pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut dan akan disiasat di bawah Seksyen 55D dan Seksyen 56 (1A)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) serta Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966.











