PUTRAJAYA 3 Julai – Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran rentas sempadan yang aktif di Lapangan Terbang Antarabangsa 2 (KLIA2) dalam satu operasi khas melibatkan Unit Perisikan, Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisis.
Jabatan Imigresen dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berjaya menjejaki dan mengenal pasti rangkaian sindiket tersebut sehingga berjaya menumpaskan mereka selepas membuat intipan selama sebulan.
“Empat lelaki warga Myanmar termasuk dalang utama yang menguruskan ketibaan dan kemasukan migran serta mereka yang baru tiba menggunakan penerbangan dari Yangon, Myanmar berjaya diberkas.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek merupakan pemegang kad UNHCR dan pernah mempunyai rekod kesalahan imigresen sebelum ini,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, urusan kemasukan migran tersebut telah diatur oleh rangkaian sindiket yang berada di Myanmar dan negara ini dengan bayaran sebanyak RM4,000 setiap seorang.
Semasa ditahan, pasukan operasi telah melakukan pemerhatian sepanjang ketibaan, kemasukan dan seterusnya mengekori kenderaan yang dinaiki oleh suspek dan migran sebelum memintas kenderaan yang mereka naiki di Balakong, Selangor.
“Bagi memastikan pergerakan mereka tidak dihidu, sindiket menggunakan perkhidmatan Grab secara rambang atau perkhidmatan kereta sewa haram.
“Ketika ditangkap sindiket dalam perjalanan untuk menghantar migran berkenaan ke lokasi yang telah ditetapkan sebelum bekerja dengan majikan mereka,” kata kenyataan itu.
Siasatan awal mendapati suspek yang dikenali sebagai ‘Muhammed’ telah bergiat aktif antara lima hingga sepuluh tahun dan migran perlu membayar antara RM3,000 hingga RM4,000 kepada sindiket bergantung kepada status dokumen sama ada disenarai hitam imigresen atau memiliki visa palsu.
Kesemua migran yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 manakala semua suspek yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010).










