KOTA BHARU – Jabatan Imigresen Kelantan hari ini menahan 106 nelayan warga asing dalam Ops Mega 3.0 di sekitar kawasan Tok Bali, Pasir Puteh.
Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen (Kawalan) Kelantan, Siti Khadijah Hamzah berkata antara kesalahan yang dilakukan warga asing dari Vietnam dan Myanmar berumur antara 18 dan 55 tahun itu ialah tiada dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa yang ditetapkan.
Dalam operasi kira-kira tiga jam bermula pukul 12 tengah hari tadi, pihaknya turut memeriksa 120 lagi warga asing di sekitar kawasan berkenaan namun mereka tidak melakukan kesalahan, katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, operasi itu dijalankan dengan kerjasama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia melibatkan serbuan di tiga pangkalan persendirian di Tok Bali selepas mendapat maklumat daripada orang awam mengenai kehadiran ramai warga asing di kawasan itu.
Kesemua lelaki warga asing yang ditahan itu dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Tanah Merah untuk tindakan lanjut. – Bernama











