KUALA LUMPUR 25 Julai – Setelah berjaya memukau ribuan audiens tatkala menjayakan Konsert Il Divo Musical Affair yang berlangsung kira-kira empat tahun lalu, kumpulan tersebut sekali lagi bakal menghangatkan kedinginan puncak Genting Highlands pada Oktober ini.
Dianggotai oleh empat anggota yang berasal dari negara berbeza iaitu Urs Buhler (Switzerland), Carlos Marín (Sepanyol), David Miller (Amerika Syarikat) dan Sebastien Izambard (Perancis), kumpulan vokal yang popular dengan genre klasik itu bakal menjayakan sebuah konsert dinama Il Divo Timeless Tour to Malaysia 2018.
Bertempat di Arena of Stars Genting Highlands, konsert anjuran Resorts World Genting itu dijadualkan pada 7 Oktober 2018 dan tiket untuk menyaksikan persembahan mereka sudah mula dijual kepada bakal penonton.
Tiket-tiket untuk menyaksikan persembahan Il Divo telah mula dijual dengan harga serendah RM146 hingga RM846 dan seribu pemegang kad ahli Genting Rewards Card terawal berpeluang menikmati diskaun sebanyak 20 peratus.
Il Divo mula ditubuhkan pada 2004 dan keempat-empat anggota kumpulan tersebut disatukan oleh Simon Cowell, pencari bakat terkenal antarabangsa. – UTUSAN ONLINE










