Ibu bapa bersikap dingin dengan 'anak manja nenek' - Utusan Malaysia

Ibu bapa bersikap dingin dengan ‘anak manja nenek’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SEKIRANYA pembaca berpandangan bahawa saya ini menantu suka mengumpat… katalah. Tetapi saya harap pembaca baca dulu apa yang tersemat dalam hati kecil saya ini sebelum membuat keputusan. Sebenarnya saya bukan mengumpat, tetapi ingin melahirkan isi hati saya dengan tujuan membaiki perangai ibu bapa mentua saya demi masa depan mereka sendiri baik di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat.

“Sudah sekian lama saya menyimpan perasaan ingin melahirkan isi hati ini, tetapi memikirkan tidak mahu menyinggung perasaan suami maka saya terpaksa mendiamkan diri, walaupun dalam jiwa ini sentiasa memberontak. Dulu saya terpaksa fikirkan perasaan nenek mentua, tetapi setelah beliau meninggal dunia, saya terpaksa fikirkan hati suami, Isma, supaya tidak terguris.’’ Itu cerita Azriah ketika kami berbual.

“Masuk tahun ini sudah 15 tahun saya mendirikan rumah tangga dengan Isma, kami dikurniakan tiga orang anak, yang sulung 13 tahun, sementara yang kecil sudah tujuh tahun. Saya anak ketiga daripada empat beradik, sementara Isma anak kedua daripada enam beradik.

“Sejak kecil iaitu sejak berumur tiga bulan Isma sudah diserahkan kepada neneknya untuk dijaga, sebab jarak umur Isma dengan kakaknya cuma 11 bulan, sedangkan pada umurnya baru tiga bulan emaknya hamil lagi, jadi oleh sebab ibunya tidak terdaya hendak menjaga dan membesarkan anak yang lahir terlalu kerap, ayahnya buat keputusan menyerahkan Isma untuk dijaga dan dibesarkan oleh neneknya di kampung.

“Jadi sejak kecil hinggalah bersekolah dan bekerja, Isma memang tidak rapat dengan emak ayahnya, selain daripada mereka tinggal berjauhan. Emak dan ayah Isma juga jarang balik kampung baik ketika hari raya mahupun meninjau keadaan emak ayahnya. Alasan mereka susah, tak cukup duit, tak ada kereta, anak ramai dan macam-macam. Jadi menurut cerita nenek, memang Isma tidak rapat dengan emak ayahnya, apatah lagi dengan adik-beradik terdiri daripada seorang kakak dan empat orang adik lelakinya.

“Emak ayah Isma tidak pernah menghulur duit belanja sejak Isma kecil. Ikut pandai nenek dan datuk mendidik Isma. Bila datuk meninggal dunia, anak-anak nenek yang lain turut bantu besarkan Isma dan mereka didik Isma tak ubah macam anak bongsu sendiri.

“Menurut cerita nenek lagi, setelah Isma bekerja dia tetap pulang kampung, bukan balik ke rumah emak ayahnya yang duduk di pinggir bandar. Alasan Isma rumah ayah sempit susah nak tidur, banyak barang. Sebenarnya nenek dan adik-beradik ayah Isma pun jarang ke rumah ayah Isma atas alasan yang sama, sempit dan tak selesa.

“Nak jadikan cerita masa kami hendak kahwin dulu pun, berlaku sedikit kekecohan. Nenek nak buat kenduri di kampung, sementara ayah Isma hendak buat di rumahnya. Nenek kata dia yang besarkan Isma, jadi biarlah dia tengok Isma kahwin di rumahnya dan anak-anak nenek lain sokong permintaan nenek.

“Kata nenek dia tak mahu kenduri kahwin Isma macam kenduri kahwin kakak Isma yang ayahnya buatkan dulu. Nak kata kenduri pun tidak, macam orang baca doa selamat aja. Jadi nenek tak berkenan, tambah-tambah yang kahwin anak perempuan sulung. Sebab itu nenek bantah dan mahu majlis kenduri kahwin kami dibuat di rumah nenek di kampung.

“Kali pertama saya melangkah ke rumah emak Isma selepas berkahwin, saya terkejut. Bukan kerana rumah kecil, ada dua bilik, tetapi perkakas atau perabut dalam rumah mereka padat dan terlalu sempit hingga menyukarkan saya hendak bantu memasak di dapur ataupun ketika hendak waktu makan.

“Sebab itu bila waktu makan emak tak senduk atau buat hidangan atas meja untuk makan, sebaliknya masing-masing bila nak makan, pergi ambil sendiri makanan dan duduk makan di merata tempat yang kosong dan selesa pada mereka, sama ada di ruang tamu, di belakang dapur ataupun depan tv, sebab meja makan sudah penuh dan sarat dengan pelbagai hiasan baru dan lama.

“Nak kata hiasan bukan tetapi di situlah letaknya tin gula, tin kopi, periuk nasi dan hiasan meja dengan vas berisi bunga kayu, bunga kertas, set pinggan mangkuk dan sebagainya. Kerana itulah juga kami tak tidur di rumah emak malam itu, sebaliknya tidur di hotel.

“Bilik memang ada yang dikosongkan untuk kami, tetapi di situlah juga disumbat dengan tilam dan bantal ekstra, almari pakaian, penyidai pakaian bergantungan dengan banyak pakaian, hinggakan tempat untuk solat pun sempit. Sebab itu Isma tidak mahu bermalam di rumah emaknya, tanpa bertanya pandangan saya terlebih dahulu.

“Isma memang sentiasa bawa saya balik beraya di kampung bersama nenek berbanding beraya di rumah emaknya sendiri. Kalau pergi pun kami akan balik pada hari yang sama.

“Keadaan berlalu hingga nenek meninggal dunia, kami masih beraya di kampung bersama emak saudara Isma. Seolah-olah merekalah ibu bapa Isma. Ini yang buat emak bapa Isma marah. Kata mereka, Isma lebih sayangkan orang lain daripada emak ayah sendiri.

Hubungan dingin

“Tetapi nak buat macam mana, sejak kecil Isma rapat dengan mereka, mereka seolah-olah emak ayah Isma. Sebab emak ayah sendiri jarang menjengok Isma, pandai-pandai neneklah membesarkan dan menyekolahkannya.

“Kata Isma, dulu ketika masih bersekolah pernah juga Isma balik ke rumah emak ayahnya, tetapi kehadiran Isma langsung tidak dipedulikan. Emak ayahnya tetap utamakan anak-anak yang mereka besarkan, itu cerita Isma. Contoh, masa berbual emak ayah lebih suka berbual dengan anak-anak peliharaannya berbanding dengan Isma.

“Apabila Isma bertanyakan sesuatu, emaknya akan suruh Isma bertanya dengan neneknya, duit poket memang tak pernah dapat. Tetapi peliknya bila nak balik rumah nenek, pasti pakaian Isma ada yang hilang sebab dipakai oleh adik-adiknya yang lain.

Dan Isma tak boleh tanya, siapa pakai baju atau seluarnya. Emaknya akan melenting marahkan Isma dan mulalah mengumpat nenek, konon sayangkan Isma seorang sahaja, sedangkan nenek ada cucu-cucu lain.

“Kerana sindiran dan keadaan seperti inilah membuatkan Isma jarang balik. Maka secara tidak langsung hubungan antara ibu dengan anak ini semakin renggang.

“Setelah bekerja Isma lebih suka beri duit sagu hati kepada nenek berbanding emaknya. Bila nenek meninggal, Isma beri saguhati kepada emak-emak saudaranya sebagai membalas budi mereka dahulu. Ini yang membuat emak Isma, semakin tidak menyukainya.

“Namun Isma tetap bantu ibunya, dengan cara lain. Jika emaknya perlukan mesin cuci baju yang baharu, Isma akan belikan, begitu juga peti sejuk baharu, tetapi yang buat Isma hangat hati bila benda-benda lama yang sudah rosak itu tidak dibuang sebaliknya disimpan di belakang rumah, untuk apa? Dalam rumah juga terdapat tiga televisyen lama yang masih disimpan walaupun sudah rosak.

“Pernah Isma menasihatkan emak dan ayahnya buang benda-benda lama dan tidak berguna lagi, malangnya isu itu jadi topik hangat Isma kena marah. Kata Isma rumah kecil, jika dibersihkan dan buang benda-benda buruk itu tentu rumah lebih selesa dan luas mata memandang.

“Tapi kata emaknya, mereka bersusah payah, ikat pinggang, simpan duit untuk beli benda tersebut, kenapa Isma nak suruh buang, benda itu banyak kenangan mereka.

“Walaupun mereka tak bertengkar tetapi sedikit sebanyak Isma telah mengguris hati emak ayahnya. Sebab itulah kehadiran kami anak-beranak tidak begitu digemari, malah disambut dengan tawar hati. Saya dapat rasakan bila Isma kurang diajak berbual, apa lagi berbincang. Hinggakan adik Isma memanggil Isma sebagai ‘anak manja nenek’ tak perlu campur dalam urusan keluarga mereka.

“Persoalannya, bukankah emak dan ayah mereka itu adalah emak ayah Isma juga, tetapi hubungan mereka memang berbeza dan amat renggang.

“Namun sebagai anak menantu, saya tetap mengajak Isma balik ke rumah emak ayahnya, walaupun ada kalanya kehadiran kami disambut dingin. Hinggakan anak-anak saya pun terasa dipinggirkan kerana emak Isma lebih melayan cucu-cucu yang lain daripada anak-anak kami.

“Kadangkala anak-anak kami langsung tidak ditegur, nasib kami tak bermalam kalau tidak lebih teruk lagi mereka merasa terpinggir. Seperkara lagi, rumah emak Isma memang sempit dengan pelbagai barangan buruk yang masih tersimpan di dalam dan di luar rumah.

“Dulu bapa Isma kerja jadi tukang cat, jadi depan rumah memang banyak tong-tong cat terpakai. Akhir-akhir ini hobi ayahnya minat buat tong cat sebagai pasu bunga. Mula-mula ada nampak pokok. Lama-kelamaan pokok mati, tinggalkan tong berisi tanah kering kontang. Memang pening kepala tetapi apa nak buat bukan rumah kita.

“Biar apa pun hobi mereka, lebih merunsingkan Isma, emak ayahnya liat nak solat. Begitu juga adik-beradiknya, mereka lebih utamakan hiburan televisyen. Pernah Isma ajak ayahnya ke surau tapi ayahnya kata akan solat di rumah. Tapi tak solat pun. Begitu juga dengan emaknya rajin hadir ceramah produk kesihatan, jual tudung dan jubah daripada solat.

“Isma bimbang dengan kesihatan emak ayahnya, tetapi apa yang dia boleh lakukan selain berdoa satu hari nanti hati emak dan ayahnya akan terbuka untuk mendekati tikar sembahyang, kerana dia tidak berjaya menasihati mereka, sebab Isma sedar dia ‘anak nenek’ bukan anak emak.’’

Demikian cerita Azriah tentang masalah ibu bapa mentuanya yang lebih pentingkan hobi dan hiburan daripada mengerjakan amalan dan membuat persiapan menuju ‘rumah kedua’ di sana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN