KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memastikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dikekalkan dan tidak dipecah mengikut kementerian berbeza bagi memastikan peranannya dalam memperkasa agenda Melayu dan bumiputera tidak terjejas.
Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Naib Presiden UMNO itu berkata, tindakan memecahkan agensi itu bukan sahaja merencatkan rancangan yang dirancang, tetapi tidak ubah seperti ‘meracik’ tubuh orang Melayu.
“Saya tidak tahu sejauh mana kebenarannya tetapi daripada laporan media sosial, kerajaan akan pecahkan Mara di bawah tiga kementerian iaitu Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
“Mara tidak boleh dipecahkan. Seksyen 3(1) Akta Mara menetapkan penubuhannya berkekalan di bawah satu menteri, tidak boleh ada pelbagai kementerian menjaganya,” katanya ketika membahaskan titah ucapan diraja di Dewan Rakyat di sini semalam.










