TOKYO 8 Julai – Jumlah korban akibat hujan lebat berterusan terburuk yang melanda Jepun meningkat kepada 81 orang, manakala beberapa juta penduduk terpaksa dipindahkan hari ini.
Hujan lebat berterusan menyebabkan paras air sungai naik sehingga melimpahi tebing, mengakibatkan ramai penduduk tempatan terperangkap dalam rumah atau di atas bumbung rumah.
Menurut laporan media tempatan, hujan lebat dijangka melanda di beberapa kawasan sekurang-kurangnya satu hari lagi.
“Kami tidak pernah mengalami keadaan hujan seperti ini. Ini merupakan situasi paling berbahaya,” kata seorang pegawai Agensi Meteorologi Jepun (JMA) yang tidak didedahkan identitinya.
Dalam pada itu, stesen penyiar NHK melaporkan 44 orang lagi dilaporkan masih hilang.
Antara mereka yang masih hilang, termasuklah seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun yang dipercayai terperangkap dalam rumahnya selepas dilanda tanah runtuh.
Kerajaan Jepun telah menubuhkan sebuah pusat pengurusan kecemasan di pejabat Perdana Menteri dan kira-kira 54,000 anggota penyelamat terdiri daripada tentera, polis serta jabatan bomba dihantar di seluruh kawasan barat daya dan barat negara itu.
“Masih ramai dilaporkan hilang dan selebihnya memerlukan bantuan, kami sedang kesuntukan masa,” kata Perdana Menteri, Shinzo Abe.
Amaran kecemasan hujan lebat tetap dilaksanakan di tiga wilayah, dengan taburan hujan sebanyak 30 milimeter dijangka turun pada pagi esok di beberapa bahagian di Pulau Shikoku.
Sementara itu, arahan perpindahan turut dikeluarkan bagi kira-kira dua juta orang dan 2.3 juta penduduk lagi dinasihatkan untuk berpindah, walaupun hujan dan banjir mulai reda di beberapa kawasan.
Selain itu, amaran tanah runtuh dikeluarkan kebanyakan wilayah di negara berkenaan.
Ekoran hujan lebat berterusan sejak minggu lalu, jalan raya dan perkhidmatan tren ditutup di beberapa kawasan barat Jepun. – REUTERS









