LONDON – Repsol Honda meramalkan kesukaran dalam menguruskan hubungan di antara dua pelumba MotoGP 2019 mereka, Marc Marquez dan Jorge Lorenzo, namun bersedia untuk menyahut cabaran berkenaan.
Lorenzo yang kini bersama Ducati akan menggantikan Dani Pedrosa musim depan sekali gus mencatatkan lembaran baharu buat Repsol Honda yang memiliki dua bekas juara dalam satu masa buat pertama kali sejak tahun 1989.
Ketua pasukan Respol Honda, Alberto Puig menjelaskan bahawa tindakan itu selari dengan prinsip untuk bekerjasama dengan pelumba-pelumba terbaik walaupun mereka terpaksa berdepan pelbagai kerenah dengan persaingan yang wujud kelak.
“Prinsip pasukan kami adalah bekerjasama dengan pelumba-pelumba terbaik. Apabila peluang tersebut terhidang untuk merekrut mereka, kami tidak akan ragu-ragu untuk menyambarnya.
“Sebagai sebuah pasukan, kami di Honda akan berusaha untuk menyediakan jentera terbaik untuk mereka dalam perlumbaan. Kami berusaha menjadikannya lebih laju dari semasa ke semasa.
“Sudah tentu, terdapat cabaran besar menanti apabila melibatkan pelumba-pelumba bintang. Jika kami jenis suka mengambil jalan mudah sudah tentu tidak akan sampai ke tahap ini,” ujarnya. – Agensi










