KUALA LUMPUR 24 Julai – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) akan menganjurkan Himpunan Kebangkitan Ummah pada Sabtu ini bagi menyuarakan ketidakpuasan hati orang Melayu dengan beberapa tindakan awal kerajaan Pakatan Harapan sejak mengambil tampuk pemerintahan negara.
Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, dijangka lebih 7,000 orang akan berhimpun di Padang Kelab Sultan Sulaiman di sini dalam perhimpunan yang bertemakan Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14): Islam Melayu terancam itu.
“Orang Melayu melihat kerajaan Pakatan Harapan lebih gemar mengusik kepentingan agama Islam dan orang Melayu serta hak bumiputera tetapi hak kaum lain langsung tidak diusik.
“Lebih 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan turut terlibat. Perhimpunan ini akan bermula pukul 9 pagi dan akan berakhir pukul 2 petang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Syed Hassan, lebih 20 tokoh akan berucap untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu yang dianggap penindasan kepada Islam dan orang Melayu.
“Kita berharap ramai orang boleh turut hadir bagi menunjukkan sokongan dalam membela nasib agama dan bangsa.
“Dimaklumkan banyak kumpulan-kumpulan dari luar ibu kota juga akan hadir bagi memberi sokongan padu,” katanya.










