JOHOR BAHRU 29 Julai – Himpunan Kebangkitan Ummah yang diadakan di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur semalam berjalan lancar tanpa sebarang kekacauan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim turut memuji pihak penganjur kerana dapat mengawal perhimpunan yang disertai oleh kira-kira 4,000 orang itu mengikut peraturan ditetapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Malah peserta turut memberi kerjasama sepanjang perhimpunan berlangsung.
“Inilah perhimpunan yang kita harapkan dijalankan pada masa depan. PDRM akan memudahkan perhimpunan dijalankan dan berharap mereka (penganjur) patuh peraturan dan pastikan tidak mengganggu orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor siri 2 tahun 2018 di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini sebentar tadi.
Seramai 400 penerima yang terdiri daripada 300 pesara dan selebihnya masih berkhidmat dengan PDRM dianugerahkan pingat jasa pahlawan negara.
Noor Rashid berkata, penganugerahan tersebut bagi mengenang jasa anggota dan pegawai yang memberi perkhidmatan serta pengorbanan tinggi dalam pasukan terutmanya ketika zaman menentang komunis dan tempoh darurat.- UTUSAN ONLINE










