Hikmah ketiadaan Chong Wei - Utusan Malaysia

Hikmah ketiadaan Chong Wei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Julai – Ketiadaan Datuk Lee Chong Wei pasti akan menyukarkan skuad kebangsaan untuk meraih pingat emas Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang pada Ogos ini, namun di sebalik ‘masalah’ itu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) seharusnya mengambil insiden yang berlaku ke atas jaguh dunia itu dari sudut positif untuk pembangunan badminton Malaysia.

Hampir dua dekad Malaysia menggunakan khidmat bekas pemain No. 1 dunia itu, namun sehingga kini tiada seorang pun pemain badminton muda yang berupaya menyamai apatah lagi mengatasi pencapaian Chong Wei.

Seperti Indonesia sukar mencari pengganti Taufik Hidayat, Denmark sukar menggantikan Peter Gade, begitu juga dengan Malaysia yang masih giat memburu ‘Chong Wei baharu’.

Chong Wei semalam disahkan oleh BAM tidak dapat menyertai dua kejohanan besar bulan hadapan iaitu Kejohanan Dunia dan Sukan Asia kerana mengalami masalah pernafasan. Dia dijangka memerlukan sekurang-kurangnya sebulan untuk pulih dan doktor menasihatkan agar tidak menjalani latihan fizikal.

Dengan ketiadaan Chong Wei bermakna sama ada Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lim Chi Wing atau Tan Jia Wei yang akan beraksi dalam acara perseorangan dalam Sukan Asia. Namun, jika mahu memberikan pendedahan kepada pemain muda dalam Sukan Asia, pemain berusia 20 tahun Jia Wei dilihat sebagai calon paling sesuai.

Mengulas mengenai perkara itu ketua jurulatih perseorangan kebangsaan Datuk Misbun Sidek bersetuju bahawa ketiadaan pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik, Chong Wei sebenarnya telah membuka seluas-luasnya laluan untuk atlet muda negara membuktikan keupayaan mereka.

“Kita nak cari pengganti Chong Wei ini bukan mudah. Sekalipun 15 tahun akan datang, kita tetap sukar mencari penggantinya.

“Sudah lama saya mencari pemain yang berkaliber seperti Chong Wei yang keseluruhannya bagus dari segi sikap, mentaliti, teknikal, kemampuan, semangat dan banyak lagi aspek penting, namun tiada.

“Kita kena terima hakikat, tetapi kita tidak mahu menyifatkan ketiadaan Chong Wei ini sebagai nokhtah kepada usaha kita.

“Kita mesti asah mereka (atlet pelapis) supaya mereka memperoleh keyakinan, pengalaman, arah tuju yang betul dan apa yang mereka mahu dalam pasukan Malaysia,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Negara, Bukit Kiara di sini hari ini.

Mengulas mengenai masalah kesihatan dihadapi oleh Chong Wei, Misbun percaya pemain berusia 36 tahun itu tidak sabar untuk kembali menjalani latihan selepas pulang daripada berehat panjang.

“Chong Wei adalah seorang pejuang. Dia jarang berehat terlalu lama, biasanya dua tiga hari…kemudian gelisah nak pergi berlatih.

“Ini sudah lebih dua minggu, pasti perasaannya ingin berlatih membuak-buak. Buat masa sekarang dengan keadaan dan emosinya, saya percaya dia boleh mengawal situasi ini dengan baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN