KUALA KANGSAR – Lebih 200 penduduk Kampung Labu Kubong di sini semalam bersepakat menghidupkan kembali budaya tradisional yang ditinggalkan sejak hampir 50 tahun lalu iaitu memindahkan rumah dengan cara mengusungnya beramai-ramai.
Penganjur Program Tradisi Mengusung dan Mengangkat Rumah, Meor Samsudin Abu Hassan berkata, idea untuk menghidupkan kembali amalan yang dilakukan nenek moyang itu hadir selepas timbul rasa kesedaran dalam kalangan mereka untuk menjaga tradisi tersebut.
“Apabila penduduk kampung melihat terdapat sebuah rumah tradisional berusia 80 tahun yang lengkap ciri-cirinya dan elok, kami membuat keputusan untuk menjaganya agar dapat ditatap generasi baharu.
“Pada awalnya kami bercadang untuk meleraikan rumah tersebut dan memasangnya kembali di lokasi baharu, namun timbul idea agar pemindahan rumah berkenaan dilakukan dengan cara mengusungnya,” katanya selepas ditemui pemberita di padang kampung berkenaan di sini semalam.
Turut hadir menyaksikan tradisi itu ialah Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Tambah Meor Samsudin, rumah tradisi yang dipindahkan ke lokasi baharu kira-kira 150 meter dari tapak asal itu akan ditambah baik dan dijadikan sebagai produk pelancongan di kampung tersebut.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.










