HESF medan semai ‘mentaliti juara’ atlet IPT - Utusan Malaysia

HESF medan semai ‘mentaliti juara’ atlet IPT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARA atlet institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini perlu memiliki mentaliti juara jika berhasrat untuk melangkah lebih jauh dan muncul sebagai johan dalam sukan yang diceburi.

Justeru, Festival Sukan Pendidikan Tinggi (HESF 2018) yang julung-julung kali diperkenalkan oleh Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) harus menekankan penggunaan slogan baharu agar objektif tersebut terpahat dalam minda atlet, sekali gus mampu meningkatkan semangat serta daya juang mereka apabila bersaing.

Timbalan Ketua Setiausaha Pemba­ngu­nan, Mohamad Azhan Md. Amir ketika merasmikan HESF 2018 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) malam tadi menegaskan agar perkara tersebut harus menjadi fokus terbaharu dalam pelaksanaan oleh Bahagian Sukan KPM.

Sementara itu, Ketua Sekretariat HESF 2018, Mohd Izwan Khairuddin berkata, kejohanan itu adalah kesinambungan daripada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT).

“Ia akan menjadi platform terbaik serta pentas pencarian dan pemilihan atlet IPT bagi menghadapi Sukan Universiti ­ASEAN (AUG) Myanmar 2018 pada Di­sember depan,” katanya.

HESF 2018 merupakan projek perintis menerusi penjenamaan baharu program sukan IPT dan jika mendapat sambutan serta impak yang baik, kemungkinan skalanya akan ditingkatkan.

HESF membuka tirainya semalam menerusi acara renang dan akan tamat pada 28 Julai ini. Kejohanan itu turut menjadi medan persiapan atlet IPT bagi memburu slot untuk layak beraksi mewakili Malaysia pada AUG Myanmar nanti.

Kejohanan itu menawarkan 75 pingat emas menerusi lima acara sukan yang dipertandingkan iaitu golf, olahraga, petanque, ping pong dan renang dengan membabitkan 526 atlet daripada 31 kontinjen.

Pada masa sama, amalan penjimatan belanjawan untuk mengurangkan kos pe­ngurusan penganjuran acara-acara sukan pada peringkat IPT akan diberikan ke­utamaan sebagai langkah berjimat cermat.

Bagaimanapun, program sukan di ba­wah kalendar Majlis Sukan Universiti Ma­laysia (MASUM) tetap berjalan se­perti yang sudah dirancang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN