KUALA LUMPUR 19 Julai – Kesungguhan Pahang untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia menjadi tanda tanya kerana sehingga kini Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) belum mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pahang digantung dua tahun daripada memohon lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) oleh FAM gara-gara menolak untuk menggantikan Kedah dalam saingan Piala AFC musim ini.
Namun begitu, mereka berjaya melayakkan diri ke kelayakan Liga Juara-Juara musim depan selepas muncul juara Piala FA, dan pengendalinya, Dollah Salleh menegaskan adalah satu kerugian jika Tok Gajah yang memiliki ramai pemain terbaik tidak beraksi di pentas Asia.
“Sehingga hari ini, saya boleh sahkan belum ada rayuan daripada PBNP.
“Terpulang kepada Pahang untuk membuat rayuan. Kalau mereka nak main mereka akan hantar jika tidak mahu, tidak perlulah merayu,” kata Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi kepada Utusan Malaysia hari ini.
Pahang meraih slot ke kejohanan berprestij itu selepas menewaskan Selangor 2-0 dalam final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, 7 Julai lalu, bagaimanapun mereka masih berdepan penggantungan sehingga 2020.
PBNP dilarang daripada memohon Lesen Kelab AFC selama dua tahun iaitu pada 2018 dan 2019 bagi menyertai ‘Pertandingan Kelab AFC’ pada 2019 dan 2020 Jawatankuasa Tatatertib badan induk yang memutuskan mereka bersalah kerana melanggar Artikel 14 Statut FAM.
Dollah sebelum ini memberitahu media, secara peribadi dia mahu Tok Gajah beraksi dalam kejohanan peringkat Asia kerana percaya dengan kemampuan anak-anak buahnya.
“Secara peribadi memang saya ingin Pahang beraksi dalam kejohanan tersebut kerana apa yang saya lihat kami ada pemain berkualiti seperti (Mohamadou) Sumareh, Matthew (Davies), Norazam (Abdul Azih) dan Safuwan (Baharudin).
“Macam satu kerugian sebenarnya (jika tidak beraksi). Bagaimanapun kami kena akur kepada keputusan FAM,” katanya.
Dalam pada itu, Yusoff berkata jika Pahang tidak berminat tempat mereka itu akan digantikan oleh naib juara Liga Super pada musim ini.
“Kalau Pahang tidak mahu naib juara Liga Super pasukan yang sepatutnya pergi ke kejohanan tersebut,” katanya lagi.










