LONDON 19 Julai – Walaupun Chelsea masih berusaha mengekalkan Eden Hazard di Stamford Bridge, namun hati pemain itu sudah berada di Real Madrid, dakwa seorang wartawan Belgium.
Wartawan sukan Belgium, Kristof Terreur mendakwa, pengurus baharu Chelsea, Maurizio Sarri tidak akan menjadi faktor yang mampu mengikat bintang tengah itu untuk kekal di London kerana sebelum Piala Dunia lagi dia sudah mengimpikan perpindahan ke Sepanyol.
Bercakap kepada Sky Sports, Terreur berkata: “Dia (Hazard) tidak kisah bermain di bawah pengurus yang gemarkan corak menyerang seperti Sarri tetapi isunya sekaang bukan Sarri sebaliknya dia sudah menetapkan hatinya (untuk berpindah) ke Sepanyol”.
Hazard menyertai Chelsea pada 2012 dan memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris bersama kelab London itu.
Biarpun beraksi buruk musim lalu dengan menduduki tangga kelima liga dan gagal layak ke Liga Juara-Juara, namun Chelsea dijangka kembali menjadi pesaing utama musim depan dengan kemasukan Sarri sebagai pengurus menggantikan Antonio Conte.
Sarri menegaskan, pemain berusia 27 tahun itu berada dalam perancangannya, malah dia tidak berhasrat melepaskan nama-nama besar yang dimiliki Blues.
“Hazard adalah pemain berprofil tinggi dan saya fikir dia antara pemain utama di peringkat Eropah.
“Saya berharap dapat membantu meningkatkan permainannya. Bagaimanapun keadaan agak sukar kerana dia sudah mencapai tahap yang tinggi,” kata Sarri. – AGENSI









