SHAH ALAM 27 Julai – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948.
Hakim, Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain menetapkan keputusan tersebut selepas meneliti pertimbangan Peguam Negara yang menerima repsentasi daripada pihak tertuduh untuk mengugurkan kes berkenaan pada 24 Julai lalu.
Pihak tertuduh mengemukakan representasi tersebut kepada Peguam Negara pada 27 Jun lalu.
Mengikut pertuduhan pertama, Hassan, 67, didakwa menerbitkan kenyataan menghasut berkaitan pentadbiran bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco serta Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika isu krisis pentadbiran Selangor, lima tahun lalu.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu menerusi laman sosial Twitter, @Hakarim51 pada 15 Ogos 2014 kira-kira pukul 5 petang di Pejabat Persatuan Pribumi Perkasa (PERKASA) di No. 40, Jalan Tengku Ampuan Zabedah A/9A, Seksyen 9, Shah Alam.
Bagi tuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan itu sekali lagi menerusi akaun laman sosial Twitter, lokasi, masa dan hari yang sama.
Manakala bagi tuduhan ketiga, Hassan didakwa menerbitkan kenyataan menghasut menerusi akaun laman sosial Twitter, @zunarkartunis di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman, Kuala Lumpur kira-kira pukul 3 petang pada 10 Februari 2015.
Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Hassan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.
Sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.
Bagi kesalahan kemudian, dia boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun.
Dalam prosiding hari ini, Hassan yang hadir memakai kot kelabu gelap itu diwakili oleh Peguam, Eric Paulsen manakala pihak pendakwaan di wakili Timbalan Pendakwa Raya, Naliatul Huzaimi Ab. Rasip. – UTUSAN ONLINE










