IPOH – Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, badan bukan kerajaan (NGO) dan Pembangunan Koperasi negeri, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) yang baharu bagi sesi 2018 hingga 2021.
Perkara tersebut diumumkan bekas Presiden Pafa, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan pada Kongres Tahunan ke-60 di Hotel Casuarina @ Meru pagi tadi.
Hasnul Zulkarnain,38, merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong menerima 18 pencalonan daripada badan gabungan Pafa sekali gus mengesahkan memegang jawatan tersebut pada penggal ini.
Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Kangsar, Datuk Adli Shah Ahmad Tah diumumkan sebagai Timbalan Presiden Pafa yang baharu bagi menggantikan Datuk Rashidi Ibrahim.
Pafa mengumumkan tiga orang yang memegang jawatan Naib Presiden iaitu Datuk Yadzan Mohammad, Abdul Aziz Yeop Jamaludin dan Datuk G. Irudianathan yang menewaskan dua calon yang lain menerusi kiraan undian.
Menerusi kongres itu, seramai sembilan orang Ahli Jawatankuasa Eksekutif dipilih iaitu Mohd. Reduan Amir Hamzah, Zainal Anuar Abdul Rashid, Megat Ameruddin Megat Danian, Joharudin Johar Ali, Mohd. Najib Mohd. Mohktar, Mahhadee Ramlee, Wan Fadzli Izam Wan Zulkifli, Mohd. Suder Satimin dan Hairul Anwar Mohamed Noor. – K! ONLINE









